Tempat Menarik Di Ipoh

Bulatan Sultan Idris Shah


Merupakan sebuah bulatan yang menjadi mercu tanda bagi Bandaraya Ipoh. Kewujudannya amat unik menjadi salah satu tarikan bandaraya bunga kertas. Kedudukannya terletak di pintu masuk Bandaraya Ipoh dan kecantikannya menjadi tumpuan setiap pelancong yang berkunjung kerana keunikan rekabentuknya.


Stesen Keretapi Ipoh juga dikenali sebagai Taj Mahal oleh masyarakat tempatan kerana rupa bentuknya yang seakan-akan Taj Mahal. Ianya juga merupakan mercu tanda bagi Bandaraya Ipoh kerana keunikan rupabentuknya. Ianya dikelilingi oleh pelagai jenis bunga-bungaan tempatan sebagaidaya tarikan kepada para pelancong yang berkunjung.

Salah satu mercu tanda yang terkemuka di Ipoh yang menjadi kebanggaan kepada masyarakat Islam keseluruhannya sebagai asas kepada Islam. Keistimewaan masjid ini dari segi rekabentuknya kerana terdapat 125 buah kubah di atas bumbungnya.

Muzium ini terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab yang telah dibuka untuk awam pada tahun 1992. Muzium ini memaparkan artifek yang menarik mengenai sejarah dan pembangunan Ipoh dalam sektor perlombongan dan pertanian. Bangunan ini telah dibina lebih daripada 100 tahun yang lalu dan ia mempunyai sejarahnya tersendiri.
Muzium ini dibuka setiap hari, 9.00 - 5.00, kecuali hari jumaat dan separuh hari pada hari Khamis. Masuk adalah percuma
Taman Jepun terletak di Taman Rekreasi D.R.Seenivasagam atau Taman D.R di Ipoh, Perak. Dengan keluasan 1.2 hektar, taman ini dibina mengikut struktur lanskap yang unik sama seperti taman Jepun yang terdapat di Fukuoka. Kini, Taman Jepun boleh diklasifikasikan sebahagian daripada Taman D.R. Seenivasagam. Taman ini telah dibuka pada awal tahun tahun 50-an.

Taman ini secara rasminya dibuka pada 30 Jun 1995 dalam majlis gilang gemilang yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Ipoh, Tuan Haji Ahmad Salleh Haji Sarif bersama dengan Datuk Bandar sebelumnya, Dato Haji Umar Haji Abu. Sementara itu, bendahari Majlis Bandaraya Fukuoka, Encik Watanabe mewakili Datuk Bandar Fukuoka.
Taman ini mendapat gelaran “Taman Mini Jepun” selepas termeterainya perjanjian di antara bandar Ipoh dan bandar Fukuoka pada 21 Mac 1989. Lanskap taman ini adalah hasil reka bentuk pegawai lanskap Majlis Bandaraya Ipoh, dengan dibantu nasihat dan kepakaran daripada Majlis Bandaraya Fukuoka. Setiap tahun, sekumpulan pelajar dari Kolej Nishinihon, Fukuoka akan menjalani latihan praktikal dalam penyelenggaraan taman ini. Ini merupakan program pertukaran pelajar di samping aktiviti-aktivitinya dibuat oleh bandaraya berkembar iaitu Ipoh dan Fukuoka.

Taman Jepun ini dihiasi dengan beberapa ‘rock lantern’ dan ‘rock water pitcher’. Pohon-pohon bambu atau buluh turut menghiasi pintu masuk manakala di sepanjang laluan pejalan kaki, dihiasi taburan batu-batu kecil berwarna kelabu, coklat dan hitam yang diperolehi dari sungai berhampiran bandar Kuala Kangsar. Selain itu, taman ini turut dihiasi pokok willow dan pokok pain bagi menambahkan lagi ciri-ciri Jepun. Rumpun-rumpun kecil teratai turut mewarnai taman tersebut. Disamping itu, terdapat juga pulau kecil di tasik utamanya yang dihubungkan dengan jambatan kayu bersama dengan sudut tempat rehat. Secara keseluruhannya, suasana di Taman Mini Jepun ini memberikan perasaan yang mendamaikan seolah-olah berada di negara Jepun itu sendiri.

Taman Rekreasi Gunung Lang terletak di Jalan Kuala Kangsar bersebelahan dengan Lebuh Raya Utara Selatan. Gunung Lang berlatarbelakangkan pemandangan semulajadi yang terdiri daripada hamparan bukit batu kapur dan tasik yang menjadi daya tarikan utama pengunjung dari dalam mahu pun luar negeri. Pembangunan seluas 28 hektar ini melibatkan kerjasama di antara Majlis Bandaraya Ipoh dan Jabatan Lanskap Negara pada tahun 1999. Daya tarikan utama taman ini ialah hamparan bukit batu kapur dan tasik yang belum diterokai. Taman Rekreasi ini dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada .

Proses pembangunan baru telah dibuat melalui pembinaan fasa kedua taman tersebut. Pelbagai usaha telah diambil bagi mengindahkan lagi Taman Rekreasi Gunung Lang, di antaranya ialah dengan menggabungkan kecantikan semulajadi serta menerapkan unsur-unsur moden dan tradisional. Di laluan utamanya di sepanjang taman tersebut terdapat pelbagai jenis bunga bougainvilleas yang berwarna-warni. Apa yang menarik, terdapat 85 spesis heliconia yang diimport khas daripada negara luar.

Tumbuh-tumbuhan berbau harum yang terdapat di sini telah memberikan aroma terapi di sepanjang laluan pejalan kaki. Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah pengunjung harus menaiki bot mengelilingi tasik bekas tapak lombong tersebut sebelum tiba ke kawasan taman .

Tasiknya pula dipenuhi pelbagai jenis ikan selain daripada haiwan reptilia seperti cicak dan ular. Bukit di taman tersebut dihiasi dengan flora dan fauna semulajadi dan sekali sekala pada waktu petang pengunjung boleh melihat monyet, burung dan sekiranya bernasib baik boleh terserempak dengan burung helang. Apa yang menarik, tumbuhan seperti orkid dan pokok buah-buahan tempatan telah dilabel mengikut nama masing-masing.
Taman yang mempunyai persekitaran yang segar dan dipenuhi dengan flora yang berbagai merupakan daya tarikan utama kepada para pengunjung. Seisi keluarga boleh beriadah di kawasan di sekitar taman yang menyediakan pelbagi kemudahan seperti taman permainan, sampan, ruang padang yang luas dan sebagainya.

Pusat Perkelahan Chepor merupakan tempat perkelahan yang paling popular di Ipoh. Airnya yang sejuk dan nyaman memberi ketenangan kepada mereka yang ingin melepaskan penat lelah selepas bekerja terutamanya pada hujung minggu bersama keluarga. Pengunjung dapat menikmati pemandangan indah Pusat Perkelahan Chepor pada bila-bila masa.



No comments:

Post a Comment